Jika
anda terfikir bahawa kalsium hanya penting untuk kanak-kanak dan orang
tua, ternyata anda silap. Kalsium sepatutnya diambil secara berterusan
terutamanya bagi golongan wanita mengandung.
Apabila bercakap
mengenai kepentingan kalsium, kebanyakkan daripada kita sering kali
merujuk zat itu hanya untuk kanak-kanak sebagai sumber tumbesaran
tulang. Bagi orang tua pula, ia penting bagi mengelakkan pereputan
tulang. Jarang sekali orang muda atau yang berada di usia pertengahan
mengambil berat mengenai pengambilan kalsium dalam struktur diet harian
mereka.
Selain diperlukan
golongan dewasa yang aktif, tahukah anda bahawa kalsium adalah zat yang
amat penting bagi ibu-ibu hamil? Kekurangan pengambilan kalsium atau
kealpaan dalam memberi tumpuan terhadap zat kalsium sebenarnya boleh
menyebabkan komplikasi semasa meneran saat-saat melahirkan anak. Lebih
buruk, kesannya akan berterusan sehingga usia tua.
Kalsium dilihat
sebagai satu zat yang penting disamping zat besi, folik, potasium dan
lain-lain. Semua ibu hamil seharusnya tidak memandang remeh keperluan
kalsium juga berharap agar golongan suami turut mengambil peranan
mengingatkan pasangannya. Apabila berjumpa doktor dalam sesi
pemeriksaan, pasangan dinasihatkan agar jangan segan untuk meminta pil
kalsium di samping mengamalkan diet tinggi zat kalsium.
Sebanyak 75%
ibu-ibu hamil tidak mengambil keperluan kalsium yang mencukupi dan
ketidaksedaran ini akan memberi kesan kepada mereka khususnya pada
semester ketiga mereka mengandung dan saat-saat melahirkan anak. Ibu
hamil lazimnya memerlukan 1,200 hingga 1,300 miligram kalsium sehari
iaitu tambahan 300 hingga 500 miligram zat yang diperlukan orang dewasa.
Ia bermakna
seseorang itu perlu mengamal pengambilan susu segar sebanyak satu liter
setiap hari. Ibu-ibu sekarang kurang mengamalkan pengambilan susu, sama
ada tidak meminatinya atau ada pula yang mempunyai masalah tidak boleh
bertoleransi dengan laktosa. Jika ibu-ibu hamil tidak suka mengambil
susu, terdapat banyak susu berperisa di pasaran khas untuk mereka.
Pengambilan keju, dadih dan makanan yang berkaitan dengan susu juga
boleh diamalkan bagi menggantikan susu.
Selain produk
tenusu, ibu-ibu hamil bileh mengambil makanan pejal yang tinggi zat
kalsium termasuk sayuran, buahan dan ikan bilis, salah satu makanan yang
mempunyai kalsium yang tinggi.
Diet Sumber Asli
Walaupun ibu-ibu
itu dibekalkan dengan pil kalsium, mereka tetap perlu mengamalkan diet
sumber asli seperti yang disenaraikan itu. Kalsium yang diambil itu amat
berguna untuk kekuatan tulang khususnya bagi ibu-ibu yang memerlukan
zat tersebut bagi kekuatan menanggung berat bayi secara fizikal.
Selain itu,
kalsium juga penting untuk pembekuan darah, menstabilkan transmisi
impuls saraf dan untuk merehatkan otot sewaktu berlakunya kontraksi.
Banyak penyelidikan dan kajian atau lebih tepat kira-kira 14 kajian yang
disenarai dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika mendapati kalsium
yang tidak mencukupi meningkatkan risiko praeklampsia iaitu gejala
tekanan darah tinggi.
Keadaan itu
dikatakan berlaku selepas 20 minggu kehamilan bersama dengan masalah
lain. Difahamkan juga praeklampsia berpotensi membawa maut bagi ibu dan
bayi akibat kenaikan tekanan darah tinggi.
Secara amnya,
kalsium yang sedia dimiliki ibu akan diserap oleh bayi semasa dia
membesar terutamanya dalam proses pembentukan tulang. Kesan paling
ketara adalah ibu hamil akan kekurangan kalsium pada jumlah yang besar
khususnya di akhir tempoh kehamilan.
Kegagalan
menggantikan kalsium yang diserap oleh bayi boleh menyebabkan ibu-ibu
kehilangan gigi pada usia yang lebih muda daripada sepatutnya. Mereka
juga berisiko tinggi menghidap osteoporosis. Mereka yang mempunyai
ketumpatan jisim tulang yang sangat rendah akibat kekurangan kalsium dan
berat tulang yang kecil berpotensi besar menghidap osteoporosis dan
pada kadar lebih cepat.
Untuk mengesan
jisim dan densiti tulang, mereka boleh membuat pemeriksaan di hampir
semua klinik umum. Dicadangkan agar pemeriksaan itu dilakukan sebagai
langkah memahami lebih lanjut keadaan tulang badan.
Kehilangan Kalsium
Kehilangan
kalsium dalam kalangan ibu hamil secara relatif lebih banyak iaitu
sekitar tiga hingga 10 peratus berbanding wanita menopaus yang
kehilangan satu hingga tiga peratus. Itupun sudah dikira banyak.
Bayangkan dengan kehilangan lebih tujuh peratus? Kehilangan ini berpunca
daripada permintaan yang tinggi terhadap kalsium oleh bayi.
Jika ada orang
yang berpendapat pengambilan kalsium boleh dikurangkan selepas bersalin.
Itu juga satu tindakan yang salah. Sebenarnya ibu-ibu khususnya yang
menyusukan anak perlu terus mengekalkan pengambilan kalsium pada kadar
yang sama. Kalsium diperlukan untuk mengiringi proses merehatkan otot
rahim yang mengecutkan semula mahupun sewaktu kedatangan haid.
Selain itu,
pengambilan kalsium yang secukupnya didapati boleh mengelakkan masalah
kekejangan sewaktu proses bersalin. Kekurangan zat itu juga boleh
mengakibatkan masalah kesejukan dan kekejangan pada bahagian kaki.
Kekejangan yang berlaku itu boleh menganggu emosi ibu selain proses
bersalin itu sendiri, komplikasi ini sangat digeruni ibu-ibu hamil.
Oleh yang
demikian, ibu-ibu yang merancang hamil, sedang hamil mahupun yang sudah
melahirkan anak supaya mengekalkan mengambil kalsium sama ada berbentuk
supllemen mahupun daripada sumber semula jadi.
* Produk ini tidak bertujuan untuk mendiagnos merawat, menyembuh atau mencegah sebarang jenis penyakit.
Sila dapatkan nasihat dari Doktor atau pakar berkaitan penyakit-penyakit yang dihidapi.
* Produk ini tidak bertujuan untuk mendiagnos merawat, menyembuh atau mencegah sebarang jenis penyakit.
Sila dapatkan nasihat dari Doktor atau pakar berkaitan penyakit-penyakit yang dihidapi.
No comments:
Post a Comment