Rambut adalah mahkota buat wanita. Menjaganya bukan sukar tetapi
tidak mudah. Tidak kena gaya, rambut akan mudah rosak, berkelemumur,
gugur dan beruban sebelum masanya. Walaupun bertudung penjagaan rambut
tetap diutamakan apatah lagi memerlukan lebih perhatian berbanding
mereka yang tidak. Kulit kepala yang tertutup dalam tempoh lama
mengundang peluh yang akhirnya bercampur minyak semula jadi lalu
mengundang masalah kelemumur yang serius.
Setiap individu perlu mengetahui analogi, fisiologi dan punca biasa
untuk lebih memahami dan menjaga kesihatan rambut. Biasanya masalah
kelemumur ini disebabkan beberapa perkara, iaitu seborrheic dermatitis,
kulit kepala kering, gatal dan berkeruping, kurang mencuci rambut,
psoriasis, ekzema, sensitif pada sesetengah produk dan juga disebabkan
jangkitan yis malassezia.
Seborrheic dermatitis biasanya menunjukkan simptom gatal-gatal,
kulit kepala berminyak atau kulit kepala kering, gatal dan berkeruping.
Keadaan ini disebabkan cuaca panas. Bentuk keruping disebabkan kulit
kepala kering biasanya kecil-kecil dan kurang berminyak berbanding
lain-lain punca yang menyebabkan kelemumur.
Bagi wanita yang kurang mencuci rambut juga mudah mendapat masalah
ini. Jika anda tidak membasuh rambut dengan kerap, minyak dan sel kulit
daripada kulit kepala akan terbina, menyebabkan kelemumur.
Ada sesetengah wanita menghidap masalah psoriasis yang merupakan
sejenis penyakit kulit biasa yang menjejaskan kitaran hidup sel kulit
akibat sel tumbuh dengan cepat pada permukaan kulit, membentuk sisik
tebal, berkilat yang gatal, kering, kemerah-merahan dan kadang kala
menimbulkan rasa sakit berlarutan. Keadaan ini biasa berlaku di lutut,
siku tetapi boleh juga berlaku pada kulit kepala. Penghidap penyakit
kulit ekzema juga biasa mengalami kelemumur.
Bagi wanita yang mengalami masalah sensitif pada sesetengah produk
rambut akan menyebabkan kulit kepala menjadi kemerahan dan gatal.
Sebenarnya terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan
kelemumur.
Masalah kelemumur ini juga boleh disebabkan jangkitan yis
malassezia. Malassezia hidup pada permukaan kulit kepala hampir kesemua
individu dewasa tanpa menyebabkan sebarang masalah. Namun apabila tidak
terkawal, ia akan merembeskan lebih minyak daripada folikel rambut. Ini
menyebabkan iritasi pada kulit kepala dan menggalakkan lebih banyak sel
kulit terhasil. Lebihan sel kulit akan mati dan tertanggal dan bercampur
dengan minyak daripada rambut dan kulit kepala, menyebabkan ia
kelihatan memutih, berkeping dan jelas kelihatan pada rambut juga
pakaian anda. Namun punca sebenar malassezia tidak diketahui. Boleh jadi
disebabkan terlalu banyak minyak pada kulit kepala, perubahan hormon,
tekanan, masalah saraf seperti parkinson, sistem imun terganggu, tidak
mencuci dengan kerap dan semua masalah ini menyumbang kepada kelemumur.
Credit : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment