Monday, 22 July 2013

Pantang Larang Kecantikan

Cantik bukan setakat di definisikan sebagai cantik rupa paras saja tetapi merangkumi banyak aspek, dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Bagaimanapun, jika seseorang itu memiliki rupa paras menawan, ia bonus kepadanya. Selain itu, keinginan untuk cantik bukan setakat menggunakan produk kecantikan di pasaran dengan pelbagai fungsi, ia juga perlu diselaraskan dengan beberapa pantang larang supaya kesannya lebih maksimum.


Pantang larang ini wujud sejak zaman dulu kala lagi. Lihat saja datuk nenek kita mengekalkan kecantikan tanpa bantuan produk. Jawapannya mudah, hanya mengamalkan pantang larang ditambah pula mengambil pemakanan berkhasiat dan aktiviti harian, kecantikan asli itu pasti terserlah.

Malah, ada yang sehingga usia tuanya tetap kekal dengan petua dan pantang larang berkenaan.

Tiada kos yang tinggi diperlukan, hanya konsisten dan elakkan daripada melakukan perkara dilarang. Justeru, di sini, terdapat beberapa pantang larang mudah yang boleh di aplikasi terutama membabitkan wajah dan rambut wanita kerana ia antara aset paling berharga buat mereka.

1. Jangan memicit jerawat

Jerawat memang menjadi masalah kepada penampilan wanita. Setiap bulan pasti akan tumbuh dan ‘mencacatkan’ wajah. Timbul geram dan terasa ingin saja dipicit.
Apa pun, jangan sesekali memicit jerawat menggunakan kuku kerana ia akan merosakkan kulit dan memburukkan lagi keadaan jerawat anda sehingga meninggalkan parut. Jika ingin teruskan juga, pastikan tangan anda betul-betul bersih atau gunakan sarung tangan.

2. Jangan gunakan sabun mandi

Sabun mandi sesuai untuk kulit badan saja, bukannya kulit wajah. Bahan yang terkandung di dalam sabun mandi itu boleh menghilangkan minyak asli kulit muka dan kesannya ia boleh menjadikannya kering. Gunakan pencuci wajah yang sesuai dengan jenis kulit anda.

3. Jangan keringkan rambut guna tuala

Kebanyakan wanita selepas mandi sering menggosok rambut yang basah dengan tuala dengan hasrat supaya ia cepat kering. Tapi tahukah anda, menggosok terlalu kuat boleh menjadikan rambut mudah putus dan kusut terutama jika rambut panjang.

Cara yang sepatutnya digunakan ialah dengan memerah rambut anda dan membalut dengan tuala. Biarkan ia kering sebentar tanpa perlu memberi tekanan kepada rambut anda.

4. Jangan sikat rambut basah

Seeloknya sikat rambut anda ketika kering kerana rambut yang basah, ia mudah tersimpul, kusut dan boleh mengakibatkan rambut mudah putus dan rosak.

5. Bersihkan muka sebelum tidur

Jangan sesekali anda tidur tanpa membersihkan muka. Ini kerana muka yang tidak dicuci dan bermekap ia boleh menyebabkan pori-pori kulit tersumbat dan seterusnya memberikan masalah kulit seperti jerawat. Jika malas sekali pun, cuci saja sudah mencukupi. Jangan biarkan kulit anda tidak boleh bernafas.

6. Jangan mandi air panas

Mandi air panas ada kelebihan dan kekurangan, tetapi jika kulit anda kering seeloknya cuba elakkan daripada mandi air panas atau mandi menggunakan mandian haruman.


Credit : Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Sharing is Caring