Bukan semua wanita bertuah mendapat kembali berat dan bentuk badan asal mereka. Sebelum membuat keputusan untuk mengikuti sebarang proses diet bagi mengembalikan semula badan yang langsing dan cergas, fahami terlebih dahulu apa yang boleh dan tidak boleh.
Sebaiknya tunggulah lebih kurang enam minggu selepas melahirkan bayi sebelum anda berfikir mengenai proses menguruskan badan. Ingatlah bahawa perubahan bentuk badan tetap berlaku sepanjang kehamilan.
Justeru kebanyakan wanita menghadapi kesukaran untuk kembali kepada berat badan sebelum hamil. Namun ia bukanlah satu yang mustahil asalkan anda berdisiplin dan bercita-cita tinggi untuk mencapai impian tersebut.
Tempoh kehamilan selama sembilan bulan dicampur dengan proses pelahiran bayi yang memenatkan pasti memerlukan seorang ibu memulihkan kembali tenaga yang hilang. Oleh itu jangan terus lakukan sebarang senaman berat seperti yang biasa anda lakukan ketika belum hamil.
Badan anda masih dalam tempoh pemulihan. Ada boleh memulakan dengan membuat beberapa senaman ringan sebagai pemanas badan. Antara yang mudah dilakukan seperti berjalan, senaman lantai pelvis dan regangan. Lakukan ia apabila badan memberi isyarat sudah bersedia untuk melakukannya.
Diet yang berkhasiat dan pelbagai akan mempercepatkan proses pemulihan selepas bersalin, dan membantu anda menghadapi cabaran sebagai seorang ibu baru. Samada anda memberi bayi anda susu badan atau susu formula, anda harus mensasarkan untuk mengamalkan diet yang sihat.
Dapatkan garis panduan yang diiktiraf pakar diet dalam membantu anda mencapai dan mengekalkan berat badan yang sihat :
★ Jangan abaikan sarapan pagi
★ Makan sekurang-kurangnya lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari
★ Masukkan menu makanan berserat tinggi seperti oat, kekacang, lentil, bijirin dan biji-bijian dalam diet anda
★ Pastikan hidangan makanan anda mengandungi makanan berkanji seperti roti, nasi dan pasta (lebih baik jika bijian penuh untuk menambah serat)
★ Kurangkan makanan bergoreng, makanan segera, konfeksi, kek dan minuman bergas, yang mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi
★ Kawal saiz hidangan pada waktu makan dan jenis snek serta kekerapan anda mengambilnya di antara waktu makan.
Berusahalah tanpa jemu dan jangan berputus asa. Biarpun sukar untuk mengurangkan berat badan selepas bersalin, tetapi penting bagi anda untuk melakukannya. Tetapi ingatlah perlu menjaga kesihatan dan jangan secara drastik.
Benarkah menyusukan bayi boleh kurus?
Sebelum memikirkan tentang badan yang boleh kurus dengan menyusukan bayi, penting untuk diketahui bahawa apabila menyusu, badan ibu memerlukan tenaga untuk menghasilkan susu.
Sebanyak 300 hingga 500 kalori diperlukan oleh tubuh badan si ibu yang menyusu bayi.
Walau bagaimanapun, sebilangan tenaga tambahan yang diperlukan ini akan diperolehi daripada simpanan lemak sedia ada.
Ini bermakna, menyusu badan boleh membantu anda mengurangkan berat badan. Ini adalah cara yang selamat untuk mengurangkan berat badan dan ia tidak mengganggu kualiti atau bekalan susu anda.
Bilakah saya boleh dapat kembali berat badan normal?
Amalan pemakanan berkhasiat sepatutnya menjadi amalan setiap wanita tidak kira semasa belum hamil mahu pun sepanjang kehamilan. Hakikatnya anda mungkin perlu beberapa bulan sahaja untuk mengembalikan kesemua nutrien yang telah digunakan oleh bayi anda untuk membesar dan berkembang.
Namun demikian, sekiranya anda mengalami situasi di luar kawalan sepanjang hamil seperti mabuk kehamilan, alah dengan sesuatu makanan atau lain-lain masalah menyebabkan amalan pemakanan menjadi tidak teratur, maka proses mengembalikan berat badan asal mengambil masa yang lama, sekitar setahun atau lebih.
Sebenarnya tidak perlu terlalu stres memikirkan apa kata orang tentang bentuk badan yang sudah berubah. Lalui ia dengan tenang kerana ingatlah, anda anda baru sahaja menyelesaikan tugasan berat yang mengambil segala tenaga dan nutrisi daripada badan anda.
Asalkan anda mengamalkan pemakanan sihat dan berkhasiat, bersenam, menyusukan bayi dan menikmati pengalaman bergelar ibu dengan gembira secara automatik anda memberi masa kepada tubuh badan untuk kembali kepada bentuk asal secara sihat.
No comments:
Post a Comment